Mengundi

1 – Daftar diri sebagai pemilih SPR

Untuk mengundi, anda mesti mendaftar diri dalam Daftar Pemilih SPR. Sila rujuk Mendaftar.

2 – Pastikan Tempat Mengundi anda

Semakan dalam talian boleh dibuat di sini http://daftarj.spr.gov.my/NEWDAFTARJ/

3 – Ketahui calon anda

Ketahui calon-calon yang bertanding di kawasan pilihan raya anda melalui media dan ceramah mereka. Rujuk juga Parti dan Calon.

4 – Pergi ke Tempat dan Saluran Mengundi anda

Pada Hari Mengundi, bawa Kad Pengenalan anda ke Saluran Tempat Mengundi. Masa pengundian biasanya dari jam 8 pagi ke jam 5 petang, kecuali bagi kawasan tertentu seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak di mana masa pengundian mungkin dipendekkan atas sebab keselamatan.

5 – Dapatkan Kertas Undi anda

  • Tunjukkan Kad Pengenalan anda kepada pegawai SPR di Saluran Tempat Mengundi.
  • Selepas anda disahkan sebagai pemilih yang belum mengundi, dapatkan Kertas Undi anda di Tempat Mengundi.

* Sekiranya pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri diadakan serentak, dan Kawasan Mengundi anda bukan berada dalam Wilayah Persekutuan, maka anda akan diberi dua kertas undi – satu untuk pilihan raya Dewan Rakyat dan satu untuk pilihan raya Dewan Undangan Negeri.

6 – Dalam Tempat Mengundi, tandakan pilihan anda dalam Kertas Undi

  • Pastikan pilihan anda ditanda dengan jelas X di dalam ruang sebelah nama dan lambang calon pilihan anda.
  • Jangan menulis atau melakar sebarang tanda dalam Kertas Undi yang mungkin dapat mencam identiti anda.
  • Jangan tunjukkan Kertas Undi anda kepada sesiapa pun di Tempat Mengundi.

7 – Lipatkan Kertas Undi anda & masukan ia ke dalam Peti Undi

  • Ingat: Undi anda rahsia. Pastikan Kertas Undi anda dilipat sehingga kandungannya tidak kelihatan langsung.
  • Masukkan Kertas Undi yang dilipat ke dalam Peti Undi yang berkenaan (sama ada ia untuk pilihan raya Parlimen atau pilihan raya Dewan Undangan Negeri).
  • Beredar dari Tempat Mengundi setelah urusan anda selesai.

Cara mengundi

A. Pengundian biasa – bagi pemilih biasa yang akan mengundi pada hari yang ditetapkan sebagai hari mengundi.

B. Pengundian pos – bagi pengundi tidak hadir (angkatan tentera, pelajar di luar negara dan kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara serta pasangan kesemuanya).
Pengundi-pengundi lain yang dibenarkan mengundi secara pos ialah:

1. Petugas Pilihan Raya

2. Anggota polis dan pasangan, anggota polis hutan

3. Ahli panel dan Pegawai SPR

4. Mana-mana kategori yang ditetapkan oleh SPR layak untuk mengundi secara pos melalui pewartaan

Pengundian pos ini akan diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi dicetak dan mereka perlu mengemukakan kertas undi tersebut yang telah ditanda ke Pejabat Pegawai Pengurus selewat-selewatnya pada jam 5 petang pada hari mengundi.