Laporan Pilihan Raya Malaysia

Laporan penuh Pilihan Raya Umum Malaysia pertama hingga ke 12 akan dimuat turun secara berperingkat. Untuk mendapatkan laporan-laporan ini, sila klik pada pautan dibawah.

Ringkasan Pilihan Raya Malaysia 2008

  • Dewan Rakyat telah dibubarkan pada 13 Februari 2008 dan diikuti oleh Dewan Undangan Negeri di seluruh negara bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan. SPR telah menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 24 Februari 2008 dan hari pengundian pada 8 Mac 2008 dengan tempoh berkempen selama 14 hari sahaja. Bilangan kerusi Dewan Rakyat untuk dipertandingkan telah meningkat daripada 219 kepada 222 manakala kerusi DUN kekal sebanyak 505. Dun Sarawak masih tidak terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini. (sumber: SPR)
  • Muat turun laporan penuh : Laporan Pilihan Raya Malaysia 2008

Ringkasan Pilihan Raya Malaysia 2004

  • Dewan Rakyat ke-10 telah dibubarkan 4 Mac 2004. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 13 Mac 2004 dan hari mengundi pada 21 Mac 2004 untuk seluruh negara dengan tempoh berkempen selama lapan hari sahaja. Satu perubahan ketara yang berlaku adalah buat pertama kalinya DUN Sabah menyertai pilihan raya umum bersama dengan DUN-DUN di Semenanjung. Dun Sarawak masih tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini. Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan telah meningkat kepada 219 manakala kerusi DUN telah meningkat kepada 505. peningkatan bilangan kerusi ini berlaku berikutan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya di seluruh negara kecuali Sarawak yang diadakan pada tahun 2003.  (Sumber: SPR)
  • Muat turun laporan penuh: Laporan Pilihan Raya Malaysia 2004

Ringkasan Pilihan Raya Malaysia 1999

  • Dewan Rakyat ke-9 telah dibubarkan lebih awal daripada tarikh jangka hayatnya pada 10 November 1999. SPR telah menetapkan hari penamaan calon untuk seluruh negara iaitu pada 20 November 1999. Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya, iaitu hari mengundi untuk kerusi Dewan Rakyat telah ditetapkan satu hari sahaja untuk seluruh negara iaitu pada 29 November 1999. Tempoh berkempen ditetapkan selama sembilan hari sahaja. Pilihan Raya Umum Ke-10 ini juga hanya melibatkan DUN-DUN di Semenanjung. DUN di Sabah dan Sarawak masih kekal tidak terlibat dalam pilihan raya umum kali ini. Kerusi Parlimen yang dipertandingkan telah meningkat kepada 193 iaitu pertambahan satu kerusi di Sarawak berikutan urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri Sarawak. (Sumber: SPR)
  • Muat turun laporan penuh: Laporan Pilihan Raya Malaysia 1999

 

Ringkasan Pilihan Raya Umum Ke-9 (1995)

  •  Setelah Dewan Rakyat ke-8 dibubarkan pada 6 April 1995, SPR telah menetapkan hari penamaan calon yang seragam untuk seluruh negara pada 15 April 1995. Hari mengundi di Semenanjung ditetapkan pada 25 April 1995 dengan tempoh berkempen selama 10 hari sahaja. Bagi Sabah dan Sarawak pula, hari pengundian iailah pada 24 dan 25 April 1995. Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-9 telah meningkat kepada 192 kerusi berikutan urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang diadakan di Semenanjung dan Sabah pada tahun 1994. Bilangan kerusi DUN yang dipertandingkan di Semenanjung telah meningkat kepada 394 kerusi. DUN Sabah dan Sarawak terus kekal tidak terlibat dalam pilihan raya umum ini. (Sumber: SPR)
  • Muat turun laporan penuh: Laporan Pilihan Raya Malaysia 1995
 Ringkasan Pilihan Raya Malaysia 1969
  • Dewan Rakyat ke-2 telah dibubarkan pada 20 Mac 1969. Buat pertama kalinya pilihan raya umum kerusi Dewan Rakyat diadakan secara serentak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 ini, bilangan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan telah meningkat daripada 104 kepada 144 dengan mengambil kira 16 kerusi Dewan Rakyat di Sabah dan 24 kerusi Dewan Rakyat di Sarawak. Peningkatan juga berlaku bagi kerusi DUN dari 282 kepada 330 dengan mengambil kira 48 kerusi DUN untuk Sarawak. Walau bagaimanapun, DUN Sabah tidak terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 ini. Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 April 1969 bagi kedua-dua kerusi Dewan Rakyat dan DUN. Pilihan raya ini juga meyaksikan pendekatan pengundian secara berperingkat yang pernah dilakukan dalam pilihan raya umum yang pertama. Hari mengundi di Semenanjung telah ditetapkan pada 10 Mei 1969 dengan tempoh berkempen selama 35 hari. Bagi negeri Sabah, tarikh pengundian berperingkat telah ditetapkan pada 10 sehingga 25 Mei 1969 dan tarikh pengundian berperingkat di Sarawak bermula dari 10 Mei sehingga 7 Jun 1969. (Sumber: SPR)
  • Muat turun laporan penuh: Laporan Pilihan Raya Malaysia 1969

Ringkasan Pilihan Raya Malaysia 1964

  • Pada 1 Mac 1964, Dewan Rakyat pertama telah dibubarkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-2. Sebanyak 104 kerusi Dewan Rakyat dan 282 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dipertandingkan. Sabah, Serawak dan Singapura belum lagi terlibat di dalam Pilihan Raya Umum Ke-2 ini. Buat pertama kalinya, SPR menetapkan hari penamaan calon bagi kedua-dua kerusi Dewan Rakyat dan DUN dibuat secara serentak pada 21 Mac 1964. SPR juga menetapkan hari mengundi yang serentak, iaitu pada 25 April 1964 dengan tempoh masa berkempen selama 34 hari. (Sumber: SPR)
  • Muat turun laporan penuh: Laporan Pilihan Raya Malaysia 1964